Dugaan yang paling hebat dihadapi oleh PD Mengkarak adalah dilanda banjir pada bulan Disember 2007. PD Mengkarak telah bermandikan air banjir hampir keparas bumbung. Buku siap proses dan buku belum proses habis melekat menjadi seketul. Sedih sungguh melihat nasib yang menimpa buku-buku yang amat disayangi dan dijaga selama ini.
Setelah diduga dengan banjir besar 2007, kakitangan PD Mengkarak yang telah telah bersama dengan PD Mengkarak bermula pada tahun 2002 telah berhenti. Terhentilah seketika perkhidmatan perpustakaan desa di Kg. Mengkarak.
Kakitangan yang telah lama bersama PD Mengkarak terpaksa melangkah pergi meninggalkan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang. Rezeki beliau telah bersambung di Klinik Kesihatan Purun (masih dalam daerah Bera, Pahang). Rupanya masih ada 'ayat-ayat cintanya' kepada PD Mengkarak, pada hari ini beliau turut hadir untuk turut membantu kakitangan baru PD Mengkarak menjayakan aktiviti hari ini.
PD Mengkarak telah mengadakan promosi kepada penduduk sekitar Kg. Mengkarak tentang perkhidmatan PD Mengkarak. Bersempena dengan promosi ini diadakan gotong royong membersih sekitar PD Mengkarak. Pertandingan membuat kad ucapan dan pertandingan mewarna turut diadakan.
Pada awal pagi lagi telah ramai kanak-kanak yang teruja untuk menyerti aktiviti yang telah lama terhenti. Macam-macam gelagat boleh dilihat. Ada yang terlampau seronok hingga tak terkata. Ada yang masih malu-malu dan takut-takut. Tak kurang juga yang sibuk mengusik rakan-rakannya. Itulah kanak-kanak, kadang-kadang orang dewasa pun masih ada yang macam kanak-kanak.
Hasil sokongan kuat Cikgu Mat Syah, En Johari, En. Abdulah dan En. Baharom, program hari ini berjalan lancar. Semak samun yang terhimpun dihadapan bangunan perpustakaan telah menjadi bersih. Macam-macam idea untuk memajukan perpustakaan timbul. Sama-samalah kita tunggu hasil kerjasama pemimpim-pemimpim tempatan memajukan kampung yang disayang.
Sebenarnya ramai lagi orang-orang seperti Cikgu Mat Syah, En Johari, En. Abdulah dan En. Baharom. Mereka semua turut sama berusaha membangunkan semula perpustakaan yang pernah dilanda 'Tsunami Sungai Pahang' ini. Semoga usaha gigih mereka akan menjadi contoh kepada penduduk kampung lain di Daerah Bera ataupun di Negeri Pahang.
Selepas ini adalah diharapkan promosi dapat diperluaskan kepada penduduk kampung berhampiran dengan Kampung Mengkarak. Bukan semestinya PD Mengkarak untuk penduduk Kampung Mengkarak sahaja. Penduduk Jelam, Durian Tawar, Balai Polis Mengkarak Stesyen, Tuk Tangguk, Seberang Guai dan sekitanya. Satu Perpustakaan Satu Mukim.
Setelah penyampaian hadiah kepada pemenang dan peserta aktivi, maka berakhirlah program.
Rupanya program kecil-kecilan yang dijalan di PD Mengkarak ini dapat juga dihidu oleh Puan Azizah Wartawan Sinar Harian Bera. Semalam (12.10.09) beliau telah singgah di Perpustakaan Awam Daerah Bera bertanyakan tentang program promosi Perpustakaan Desa Mengkarak. Malu juga rasanya bila Wartawan Sinar bertanyakan tentang program yang tak seberapa yang takat mampu diusahakan.
Apa-apa pun terima kasih kepada yang terlibat secara langsung dan secara tak langsung. Terima kasih daun keladi, kalau boleh bantulah lagi.