.
Kerja-kerja pengumpulan foto-foto lama telah saya mulakan pada bulan Julai 2007. Matlamat saya adalah untuk mendapatkan 50 keping foto-foto lama yang dimiliki oleh penduduk daerah Bera. Jumlah tersebut cukup untuk dijadikan bahan pameran. Cadangan asal adalah untuk dipamerkan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan pada bulan Ogos 2007. Sehingga ke bulan Ogos 2007 saya masih belum mendapat jumlah yang mencukupi. Bila saya fikirkan semula, sebenarnya memang mustahil untuk mengumpul 5o keping foto-foto lama dalam tempoh sebulan. Saya pernah berusaha mendapatkan kerjasama dengan Majlis Daerah Bera melalui Pegawai Daerah Bera. Usaha ini gagal kerana mereka mahukan foto-foto yang berjaya dikumpul, dipamirkan di bangunan Majlis Daerah Bera dalam saiz yang besar sekurang-kurangnya 11R. Pihak muzium pernah menghubungi saya sekali bertanyakan tentang usaha-usaha pengumpulan foto-foto di Daerah Bera. Tiada perbicangan lanjut dengan pihak muzium.
.
Semasa kerja-kerja pengumpulan saya perlu bergerak ke pelbagai tempat, malah kedai kaum Cina di bandar Triang saya ketuk satu demi satu. Hari Sabtu dan Ahad dihabiskan dengan bergerak ke kampung dan felda untuk mengesan foto-foto lama. Kebanyakan mereka yang telah berpindah ke rumah baru, telah membuang kesemua foto-foto lama keluarga mereka. Timbul rasa kesal kerana menunggu terlalu lama untuk menjalankan usaha ini.
.
Setelah gagal untuk adakan pameran foto-foto lama daerah Bera pada tahun 2007, saya sasarkan pada tahun 2008 pula. Kesemua 5o keping foto-foto tersebut telah di hantar ke Koleksi Negeri Pahang untuk dicuci. Setelah menerima 40 keping foto-foto lama yang siap di cuci daripada Koleksi Negeri Pahang, saya mulakan usaha untuk mendapatkan cerita tentang foto-foto lama tersebut. Dengan membawa 40 keping foto-foto lama tersebut saya bertanya tentang peristiwa dalam foto-foto tersebut. Kebanyakan mereka tahu serba sedikit dan perlu dirujuk kepada pihak yang lain untuk mendapat pengesahan. Tidak semua foto-foto tersebut dapat ditulis ceritanya. Pamiran Foto-foto lama telah berjaya diadakan sempena sambutan bulan kemerdekaan 2008.
.
Semasa pameran tersebut sedang berjalan, seorang pengunjung perpustakaan yang juga seorang guru besar yang telan bersara merasa terkejut dan amat terharu kerana terdapat gambar beliau semasa muda bersama pelajar-pelajar darjah enam SRJKC Kerayong. Guru tersebut menceritakan serba sedikit tentang semua guru-guru dan pelajar-pelajar yang berada dalam gambar tersebut.
.
Kini Pamiran Foto-foto Lama Daerah Bera telah tamat. Foto-foto tersebut telah mendapat penghargaan dari Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang apabila sebuah galeri foto-foto lama Daerah Bera telah dibina bagi pamerkan secara tetap foto-foto lama Daerah Bera.
.
Namun begitu saya masih meneruskan usaha untuk berjumpa dengan orang-orang lama dalam foto tersebut bagi menulis cerita-certa mereka. Pada 19hb. November 2008 saya telah berkunjung ke kedai kopi lama di Durian Tawar. Saya dimaklumkan pada setiap hari Rabu ada Pekan Sehari Durian Tawar. Pada hari tersebut ramai orang-orang lama kebiasaannya akan berada di Pekan Sehari Durian Tawar bagi membeli barang keperluan mereka.
.
.
Pada hari yang sama saya telah berjumpa dengan seorang lagi orang lama yang berada dalam
koleksi foto-foto lama Daerah Bera iaitu Haji Baki. Ketika saya telah bersiap-siap mengutip semua gambar untuk kembali ke pejabat. Kawan-kawan beliau telah ternampah Haji Baki di Pekan Sehari. Haji Baki segera dibawa ke tempat perjumpaan. Beliau hampir-hampir tidak mengenali wajah muda beliau. Maklumlah dalam gambar umur 18 tahun, sekarang umur dah lebih 80 tahun, mata pun kurang jelas. Kawan-kawan beliau telah yakinkan bahawa itulah wajah beliau ketika. Haji Baki merasa malu dan segan melihat wajah muda beliau. Rupa Haji Baki semasa muda seakan-akan rupa Sudirman Hj Arshad.
Berikut adalah sesi perjumpaan dengan orang-orang lama di kedai kopi lama Kampung Durian Tawar. Mereka banyak bercerita tentang bagaimana saya nak dapatkan cerita-cerita berkaitan dengan foto-foto lama Daerah Bera.
Akhir sekali nak kena nyatakan juga, Durian Tawar ini berada dibawah Parlimen Bera dan DUN Guai. Y.B. mereka disini adalah Encik Norolazali bin Sulaiman. Sementara Ahli Parlimen mereka adalah Y.B. Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob.